Rabu, 29 Julai 2009




KOTA KINABALU, 14 Okt (Bernama) -- Ranau kini mempunyai produk kopinya sendiri, komoditi yang berpotensi mencatat pulangan harga yang tinggi, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun.

Masidi yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Karanaan, berkata kopi itu yang kini hanya dikenali sebagai Kopi Karanaan, didapati mempunyai kualiti dan aroma yang lebih baik kerana ia ditanam di kawasan tanah tinggi.

"Semasa bekerja di sektor swasta, saya difahamkan bahawa kopi terbaik adalah dari Ethiopia dan Colombia kerana ia ditanam di kawasan iklim sejuk.

"Saya terfikir Karanaan juga mempunyai iklim sejuk dan mungkin petani di situ boleh mencuba menanam kopi bagi menggantikan koko yang biasa ditanam," katanya kepada Bernama.

Masidi berkata beliau yang merealisasikan ideanya itu kira-kira empat tahun lepas kepada petani di Kampung Karanaan, Ranau, dengan bantuan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Negeri, yang membekalkan pot-pot kopi, mendapati projek itu membuahkan hasil.

Menerusi 60 petani yang menanam kopi secara percubaan di lot-lot tanah sendiri dan mengutip hasil menggunakan tangan, mereka kini menjual biji kopi pada harga antara RM10 dan RM13 sekilogram di pasar Ranau.

"RM10 hingga RM13 sekilo merupakan harga yang agak tinggi, dan agak menghairankan kerana tidak putus-putus pelanggan yang mahu membeli kopi berkenaan," katanya.

Masidi yakin jualan kopi mampu mencatat keuntungan dan meningkatkan taraf hidup penduduk Ranau.

"Saya menggalakkan petani terlibat dalam penanaman kopi, bukan sahaja di Ranau, malah sesiapa sahaja yang mendiami kawasan tanah tinggi boleh merebut peluang itu.

"Apabila konsortium petani diwujudkan, produk ini boleh dipakej dan dijual secara besar-besaran," katanya.



-- BERNAMA
Copyright © 2009 BERNAMA. All rights reserved.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan