Rabu, 29 Julai 2009

ARKIB : 30/08/2008 (Utusan Malaysia)

Pengalaman berharga kepada sukarelawan

RANAU 29 Ogos - Berkampung di kawasan pedalaman lebih 20 hari menjadi suatu pengalaman berharga kepada para sukarelawan Raleigh International Malaysia (Raleigh) yang datang daripada pelbagai negara.

Walaupun berhadapan dengan penduduk yang tidak mahir berbahasa Inggeris tetapi melalui bantuan jurubahasa serta sikap ramah masyarakat pedalaman menjadikan mereka berasa tidak asing tinggal di Kampung Keranaan.

Pengarah Negara Raleigh, James Clemets, 29, berkata, meskipun berhadapan dengan kekurangan kemudahan, namun semangat tinggi semua sukarelawan itu amat membanggakan.

Menurut beliau, sukarelawan tersebut yang datang dari pelbagai negara seperti United Kingdom, New Zealand dan Amerika Syarikat itu begitu teruja kerana berpeluang menyertai program kemasyarakatan seperti itu.

"Pembinaan tadika ini adalah sebahagian program tahunan kami bagi membantu masyarakat khususnya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

"Kejayaan menyiapkan pembinaan dalam masa 19 hari berbanding sembilan minggu jangkaan amat mengagumkan walaupun timbul sedikit masalah komunikasi," katanya.

Menurut Clemets, sebelum sukarelawan Raleigh ini tiba di kampung tersebut, penduduk telah memulakan kerja-kerja awal seperti membersihkan tapak projek membina tadika.

Seorang sukarelawan, Alex Cameron, 29, dari London berkata, kemesraan penduduk menerima kumpulan mereka suatu pengalaman manis yang sukar dilupakan.

Katanya, masa yang dirasakan terlalu singkat berada di Sabah tidak disia-siakan, kerana beliau sempat belajar memasak bubur ayam ala Malaysia.

"Saya tidak sabar untuk menunjukkan apa yang saya pelajari di kampung ini kepada keluarga dan rakan saya apabila balik nanti.

"Saya sungguh bertuah kerana dapat mengenali budaya orang kampung di sini walaupun terdapat masalah komunikasi dengan mereka," katanya.

Sementara itu, Dr. Felicity Werrett, 27, dari Newcastle berkata, antara pengalaman mengagumkan ialah layanan mesra penduduk kampung serta kesabaran mereka memberi tunjuk ajar membina projek tadika itu.

"Saya dan para sukarelawan lain kurang mahir dalam pertukangan, apa lagi membina bangunan tadika, tetapi sokongan dan kerjasama baik masyarakat di sini, akhirnya apa yang kami usahakan membuahkan hasil," katanya.

Peserta sukarelawan yang satu-satunya warga Malaysia, Tham Li Vyen, 25, berkata, dia melihat masyarakat di kawasan pedalaman itu saling bersatu padu dalam menjayakan sesuatu aktiviti meskipun menjalani kehidupan secara sederhana.

"Banyak yang saya dapat pelajari setelah beberapa minggu di sini iaitu bagaimana pentingnya berkerjasama menjayakan sesuatu kerja," katanya.

Beliau berkata, perkara yang paling menyeronokan di sini ialah peluang tinggal dalam suasana persekitaran yang hijau dengan berlatar belakang Gunung Kinabalu serta menghirup udara nyaman dan bersih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan