Rabu, 29 Julai 2009

ARKIB : 30/08/2008

Keranaan dapat tadika


tengku Marina (bertudung enam dari kiri) bersama kanak-kanak, kakitangan Nestle dan sukarelawan Raleigh International di tadika Kampung Keranaan, Ranau, semalam.


RANAU 29 Ogos – Kampung Keranaan adalah sebuah kampung yang jauh terpencil di pedalaman.

Terletak sejauh 39 kilometer dari bandar Ranau, kampung ini hanya dihubungkan oleh jalan tanah merah yang tidak berturap.

Tidak sekadar itu, keadaan jalan yang serba daif khususnya semasa hujan serta terpaksa melalui kawasan berbukit-bukau dan jalam curam menyebabkan perjalanan untuk tiba di kampung tersebut mengambil masa hampir dua jam menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

Bagaimanapun kehadiran sebuah syarikat korporat, Kumpulan Nestle Berhad (Nestle) dan sebuah pertubuhan sukarela, Raleigh International Malaysia (Raleigh) menceriakan penduduk Kampung Keranaan yang begitu dahagakan perhatian.

Selepas sekian lama menunggu, lebih 700 penduduk kampung itu kini menarik nafas lega apabila kedua-dua badan tersebut menyumbang dana dan tenaga membina sebuah tadika sebagai pusat kemudahan pendidikan awal kanak-kanak.

Pembinaan tadika itu membolehkan hampir 40 kanak-kanak di situ mengikuti pembelajaran awal dengan lebih selesa dan sempurna memandangkan sebelum ini, bangunan yang diguna dalam keadaan daif dan perlukan pembaikan.

Pembinaan tadika itu bermula pada 1 Ogos lalu membabitkan 12 sukarelawan Raleigh dengan dibantu oleh penduduk kampung. Tadika itu berjaya disiapkan dalam tempoh 19 hari.

Pengurus Hal Ehwal Korporat Nestle, Tengku Marina Tunku Annuar Badlishah berkata, projek tadika berkenaan sejajar dengan falsafah korporat syarikat itu yang berusaha membantu membangunkan masyarakat yang memerlukan khususnya di kawasan pedalaman.

“Misi ini juga adalah untuk merapatkan hubungan dengan masyarakat setempat selain memberi kesedaran mengenai pentingnya pendidikan bagi meningkatkan kualiti kehidupan pada masa depan,” katanya pada majlis perasmian bangunan tadika itu, baru-baru ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Amisah Yassin.

Tengku Marina memberitahu, Nestle telah menaja keseluruhan pembiayaan bernilai RM35,000 termasuk bahan pembelajaran tadika itu.

Sementara itu, Ketua Kampung Keranaan, Munsir Sain, 63, berkata, penduduk kampung amat berterima kasih di atas sumbangan syarikat swasta dan pertubuhan sukarela bagi menyediakan kemudahan pendidikan kepada kanak-kanak di kampung itu.

Katanya, sebelum ini bangunan tadika sedia ada di kampung itu amat kecil dan hanya boleh menampung antara 10 hingga 20 pelajar sahaja, tetapi dengan adanya tadika baru itu boleh menampung sehingga 40 orang.

“Saya amat gembira dengan pembukaan tadika ini, hari ini adalah hari bersejarah kepada kami dan juga hari istimewa kerana dengan adanya tadika yang lebih besar dan dapat menampung bukan hanya kanak-kanak di kampung ini tetapi kampung berdekatan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan